Produk

Wednesday, October 17, 2012

Bersangka Baik Kepada Allah


Aku selalu mengikut sangkaan hambaKu.
Aku sentiasa bersama-samanya.
Ketika ia mengingatiKu dalam dirinya, Aku pun mengingatiNya dalam diriKu.
Jika dia mengingatiKu di hadapan orang ramai, Aku pun akan mengingatinya di hadapan orang yang lebih ramai.
Jika dia mendekatiKu sepanjang sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta.
Jika dia mendekatiKu sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa.
Jika dia mendatangiKu dengan berjalan kaki, Aku akan mendatanginya dgn berlari
(HR Bukhari)


Manusia.
Apabila ditimpa kesusahan yang sedikit, mulalah merungut dan menyalahkan takdir.
Apabila ditimpa kesusahan yang banyak, mulalah pula mempersoalkan Ilahi; mencari tempat untuk meluahkan rasa amarah dan tidak puas hati.


Sedangkan.
Apa yang diberi Ilahi itu sebenarnya terbaik buat diri.
Kepayahan yang dilalui itu sebenarnya bertujuan mendekatkan dirimu dengan Ilahi.


Bersangka baiklah dengan Allah. Kehidupan ini sememangnya tidaklah seindah yang diharapkan, tetapi ketahuilah apa yang diberi Ilahi padamu itu sebenarnya terbaik untuk dirimu.


Apa sahaja yang berlaku pada masa hadapan, sentiasalah memandang positif dan yakinilah bahawa bantuan Allah akan senantiasa bersamamu; selagi kamu tidak pernah meninggalkan Dia.


Sebuah cerita yang diceritakan oleh seorang sahabat. Kisahnya bermula apabila dia telah tertidur lebih lama dari yg dijangka menyebabkan dia lewat untuk menghadiri sebuah program di dewan kuliahnya.


Disebabkan dia tersedar lewat, timbul perasaan marah dan kecewa terhadap dirinya sendiri memandangkan dia tahu betapa pentingnya bagi dia menghadiri program itu tepat pada masanya.


Jauh di sudut hatinya, terselit juga perasaan marah pada Allah kerana dia merasakan Allah tidak membantu dia agar dia tersedar sebelum program bermula.


Sewaktu bersiap-siap itu dalam keadaan kelam kabut itu, dia menjadi semakin serabut apabila kunci biliknya tidak ditemui dan bermacam-macam masalah. Dia dengan tidak sengaja telah terlepas amarahnya "Ya Allah, apa lagi yang ingin Kau beri pada aku?," soalnya bertubi-tubi.


Dengan perasaan geram yang masih memuncak, dia tetap menghadiri program yang harus dihadirinya itu. Dia tidaklah dimarahi kerana lewat namun dia merasakan seseolah cacing kepanasan, tidak selesa walaupun duduk di bangkunya.


Dia merasakan mudah marah terhadap perkara-perkara kecil yg diutarakan sewaktu perbincangan. Dia merasakan emosinya tidak stabil. Hatinya benar-benar tidak tenang.


Waktu itulah dia mula beristighfar sebanyaknya kerana dia menyedari bahawa dia sebenarnya telah melakukan kezaliman terhadap dirinya sendiri.


Mana mungkin hatinya bisa tenang setelah dia mengucapkan kata-kata yang melepaskan kemarahannya pada si Penciptanya?


Mana mungkin hatinya rasa bahagia setelah dia menyalahkan segala yang berlaku itu pada Allah yang menyediakan sebaik-baik perancangan untuknya?


"Astaghfirullah.. astaghfirullah..astaghfirullah...," sebutnya tidak putus-putus dengan air mata bercucuran dan kesalan yang tidak terkira.


Kemudiannya perkara sama berulang lagi. Namun kali ini, sepanjang dia bersiap-siap, dia mengucapkan dalam hatinya dengan tidak putus-putus "Ya Allah, permudahkanlah urusanku hari ini. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Perancang,"


Sepanjang dia bersiap sehinggalah waktu habis program, semuanya berjalan dengan sungguh lancar. Hatinya merasa sungguh tenang, sangatlah jauh bezanya jika dibandingkan dengan sebelum ini; bagaikan langit dan bumi.


Sewaktu orang lain dalam kesibukan dan panik sekalipun apabila dilanda krisis, dia masih tersenyum lebar dan tenang, kerana dia yakin Allah ada bersamanya.


Dan juga kerana dia telah bersangka baik dengan Allah. Dia yakin bahawa Allah pasti akan membantu dan bersamanya di saat kesusahan. Dia yakin dengan perancangan yang telah Allah tetapkan untuknya.


Kejadian yang sama berulang lagi. Dan dia tetap bersangka baik dengan Allah walau apapun kepayahan yg menimpa dirinya selepas itu.


Dan hasilnya, dia mula nampak akan sebab musabab terjadinya perkara yang tidak diingini itu walaupun dia sedaya upaya cuba menolaknya. Benarlah, Allah itu sebaik-baik Perancang.





Maka, senantiasalah bersangka baik dengan Allah. Jangan melemparkan andaian buruk-buruk terhadapNya walau betapa dikau tidak menggemari sesuatu keadaan itu.


Tanya pada dirimu sendiri; andai ada yang memberi andaian buruk-buruk kepadamu, apakah kamu akan membantunya selepas itu? Sudah tentu tidak, bukan?


Namun, andai ada yang menyangka yang baik-baik terhadapmu, pasti dengan rela hati kamu akan menghulurkan bantuan kepadanya.


Maka, apabila ditimpa kepayahan, hilangkan segala prasangka buruk terhadap Allah. Ingatlah bahawa Allah sebenarnya ingin memberikan sesuatu yang lebih baik kepadamu.


Dia ingin menguji keteguhan dan kepercayaan hatimu kepadaNya, maka buktikanlah itu semua kepada Yang Maha Esa!


Hakikatnya, kepayahan itulah yang biasanya mendekatkan kita kepadaNya. Lumrahnya manusia, apabila dia terasa payah, dia mula akan tercari-cari bantuan.


Oleh kerana itulah adakalanya kepayahan itu sebenarnya baik untuk kita, kerana tatkala itu kita akan mencari Allah dengan bersungguh-sungguh sekali. Tatkala itu, kita akan menjadi lebih rapat dengan Allah dari kebiasaannya.


Dan betapa ramai orang yang menemui jalan pulang ke pangkuan Ilahi setelah Allah mengurniakan kepayahan kepadanya.


Dan apabila Allah membawa seseorang itu kembali kepadaNya, itu bermakna bahawa Allah masih lagi menyayanginya.


Maka, senyumlah. Allah menyayangimu :)

No comments:

Post a Comment